Sunday, December 8, 2013

KETABAHANKU



Bersama tatapanku yang sayu
tubuhku lemas diterpa bayu
malam ini seakan sekam
yang maha panas
meskipun kedinginan itu
sudah tentu bermaharajalela
namun aku kandas
walaupun untuk membezakan
diantara keduanya.

Ketabahanku koyak
bagaikan rapuhnya kelopak bintang
malam ini kulihat ia berguguran
atau..apakah hanya aku
bersama khayalan dan angan
dipermainkan fatamorgana
ilusi semata ?
ahh..aku sudah tidak bisa
membezakan antara khayal
ataupun nyata...mengapa ?

Apakah begini sudahnya
ceritera sebuah ketabahan
yang selama ini aku pertahankan ?
sesungguhnya...
aku ingin merona didalam legam
menyinari kegelapan ini
biar ia benderang
kerana sejujurnya aku ingin
memberi cahaya sebelum esok tiba.

Namun masih adakah sisa asa
yang memberiku harapan
kerna ketabahanku hampir sirna
untukku ku akhiri kegelapan ini sendiri
bukankah...
akulah pelita renjana
yang sentiasa terbakar untuk bercahaya
menjadi detak nadi sebuah sepi ?

Ayuh..bangkitkan aku semula
demi untukku harungi
buat kesekian kali sepi
bangunkanlah aku..
dari puing-puing angin yang bertiup
menjadi serikandi 
biarkan gemuruh di dada ini
menjadi halilintar yang membelah sepi.







No comments:

Post a Comment